Thursday 5 May 2011

Lilin dan Belon


Bangun semua. "Selamat Pagi Cikgu". "Selamat pagi murid-murid, silakan duduk", kata cikgu itu sambil mengeluarkan sebatang lilin, pemetik api dan sejumlah belon. Murid-murid berbisik semasa sendiri apakah yang akan dilakukan oleh gurunya itu. Sedang asyik murid-murid bertanya sesama sendiri, lilin pun dinyalakan.
Berkata guru tersebut, "Disebelah tangan kanan saya ada sebiji belon, di hadapan saya ada lilin yang sedang menyala. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan belon ini daripada pecah". Lantas guru tersebut mencecahkan belon ke api lilin. BOOOOOMMM... Maka terkejutlah anak muridnya akibat bunyi belon yang pecah...
Seterusnya guru tadi mengulangi langkah yang sama dan berkata "Disebelah tangan kanan saya ada sebiji belon, di hadapan saya ada lilin yang sedang menyala. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan belon ini daripada pecah" Belon kedua pun pecah. Murid-murid yang tadinya terkejut dengan kejadian belon pertama, mula bercakap-cakap sesama sendiri. "Ish... Kalaulah aku tiup lilin tu tadi mesti belon tak pecah" berkata seorang murid di dalam hatinya.
Apabila guru tadi hendak mengambil belon yang ketiga, murid-murid mula menunjukkan reaksi yang berbeza. Daripada pasif menjadi aktif dengan mengeluarkan kata-kata antaranya, "Cikgu janganlah pecahkan belon lagi", "Tiuplah lilin tu" dan macam-macam lagi yang seumpama dengannya. Cikgu tadi tidak menghiraukan kata-kata murid tadi dan terus mengulangi langkah yang sama. "Disebelah tangan kanan saya ada sebiji belon, di hadapan saya ada lilin yang sedang menyala. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan belon ini daripada pecah". Akhirnya pecah juga belon yang ketiga.
Ketika guru tadi hendak melakukan perkara yang sama untuk belon yang keempat, seorang murid bangun dan terus meniupkan lilin yang sedang bernyala tadi. Maka bertepuklah tangan murid-murid tersebut.

Guru pun berkata "Anak-anak muridku semua, apa yang kita dapat pelajari hari ini adalah sikap-sikap yang ada dalam diri kita sekarang. Lihat pada belon pertama yang pecah, semua orang terkejut dan tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Dan apabila belon-belon yang seterusnya, ramai yang hanya pandai bercakap tanpa mahu berbuat apa-apa. Hanya pada belon keempat sahaja barulah ada yang berani untuk berbuat sesuatu. Ingatlah, untuk menjadi insan yang berjaya dalam pelajaran, kita jangan hanya pandai bermain dengan kata-kata. Contohnya kita berjanji dengan semua orang yang kita hendak berjaya tapi hakikatnya, kita leka dengan bermain video games, facebook dan lain-lain tanpa berusaha untuk mengulangkaji pelajaran. Begitu juga dengan kehidupan kita sehari-hari, jika kita hendak berubah untuk menjadi insan taat dan patuh kepada perintah Allah, kita mestilah melaksanakan suruhannya. Setiap manusia mempunyai cita-cita untuk berjaya dan cemerlang dalam kehidupan. Berjaya atau gagal untuk mencapai hasrat tersebut bergantung sejauh mana usaha dan perancangan yang teliti dan berterusan yang telah dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment