Monday 9 May 2011

Antara telur, lobak merah dan biji kopi

Apabila manusia ditimpa musibah, manusia sebenarnya ada tiga kategori iaitu mereka memilih menjadi telur atau lobak merah atau biji kopi. Mengapa saya mengatakan begitu? Cuba ambil air panas dan rendamkan tiga-tiga bahan tadi.


Telur - Bila direndamkan dengan air panas, telur yang pada asalnya di dalam bentuk cecair akan menjadi keras.


Lobak merah - Ianya berbeza dengan telur tadi, kalau telur menjadi keras manakala lobak merah ini akan menjadi lembut bila direndamkan dengan air panas.


Biji kopi - Biji kopi ini bila kena dengan air panas, ianya akan merubah bentuk dan warnanya serta akan mengeluarkan aroma yang harum dan sekiranya ditambah dengan gula, maka kopi tersebut sedap diminum.




Apa kaitannya bahan-bahan itu dengan sifat manusia? Baiklah, kita katakan bahawa air panas yang dicurahkan kepada ketiga-tiga bahan tadi adalah musibah. Ada segelintir manusia sifatnya seperti telur, sebelum ditimpa musibah dia adalah seorang yang lembut, berbudi bahasa dan baik serba serbi. Namun apabila ditimpa musibah, dia akan menjadi seorang yang keras hatinya seperti telur yang direndam oleh air panas.


Manakala orang yang sifatnya seperti lobak sebelum ditimpa musibah dialah orang yang kita gelar jaguh. Kehebatannya menjadi buah mulut seluruh kampung. Tetapi apabila ditimpa musibah, dia menyerahkan segala-galanya kepada takdir tanpa cuba untuk berusaha ata berbuat sesuatu demi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Orang jenis ini walaupun diberi bantuan, dia akan menolak kerana dia sudah mengangkat bendera putih.


Manusia yang sifatnya seperti biji kopi pula boleh dikatakan sebagai manusia yang mampu untuk menyerap segala musibah yang melanda dan menjadikan musibah itu sebagai titik tolak untuk berjaya. Ramai sebenarnya  yang menjadi manusia yang hebat selepas mereka jatuh. Contoh yang paling terbaik adalah Nabi Muhammad S.A.W. Sebelum dilantik menjadi rasul, beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan bangsa Arab Mekkah. Namun apabila beliau menyampaikan ajarannya, beliau dihina dan dicerca serta terpaksa berhijrah ke Madinah. Dan sampai sahaja di Madinah, Rasulullah S.A.W telah dapat menyatukan dua bangsa iaitu muhajirin dan ansar. Kita lihat bagaimana Rasulullah dapat menjadikan penolakan dakwahnya di Mekah sebagai satu keberuntungan di Madinah.


Jika kita susuri kehidupan Adolf Hitler.Beliau pernah memasuki Vienna Academy of Fine Arts untuk menjadi seorang pelukis tetapi gagal dua kali sehingga dibuang dari akademi tersebut. Apabila menyertai tentera di Perang Dunia Pertama, beliau hanyalah sebarang prebet yang ditugaskan untuk menghantar perutusan (semboyan). Namun beliau meningkat sedikit demi sedikit dan akhirnya menjadi seorang yang berkuasa di Jerman.




Kesimpulannya, dalam kehidupan ini kita ibarat seperti roda. Ada ketikanya dibawah dan ada ketikanya di atas. Namun kitalah yang akan mencorak lukisan hidup kita. Seperti firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 " Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri sendiri".

No comments:

Post a Comment