Thursday 19 May 2011

Keberasingan Islam

Assalammualaikum W.B.T

Masa mendengar tazkirah sebelum solat Zohor, Ustaz ada membaca sebuah hadis iaitu:

Imam Muslim meriwayatkan di dalam Shahihnya dari jalan Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, dia berkata; Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (HR. Muslim [145] dalam Kitab al-Iman.Syarh Muslim, 1/234).

Sebenarnya kalau kita lihat masa sekarang ini, Islam sudah terasing dalam hidup kita. 

Situasi 1

Sekiranya sebuah taman perumahan mengadakan mesyuarat untuk mengadakan hari terbuka atau hari keluarga, maka ramailah orang akan mencadang kita buat program nyayian, pertandingan futsal atau seupama dengannya. Tiba-tiba ada seorang yang lain mencadangkan untuk buat ceramah agama atau qiamulai, mesti orang lain akan memandang dengan pandangan yang sinis terhadap beliau.


Situasi 2.

Seorang anak perempuan yang baru pulang dari United Kingdom selepas mendapat ijazah di bidang kedoktoran. Kepulangan beliau dengan memakai tudung labuh dan purdah. Kedua ibubapanya pasti akan terkejut dan takut dengan perubahan yang ditonjolkan. Lalu si ibu pun berkata "Mama hantar ina ke UK untuk jadi doktor bukannya jadi ustazah". Tetapi jika seorang anak perempuan yang belajar di sebuah universiti tempatan pulang dengan memakai baju dan seluar ketat pula akan dipuji pula dengan ibunya, "Pandainya ina berfesyen ye".


Situasi 3.

Seorang teman menegur sahabatnya yang asyik bercinta tanpa memikirkan batas halal dan haram. Apa yang akan dijawab oleh sahabatnya. "Sudahlah, kau pun bukannya alim sangat. Hidup kau pun bukanlah perfect sangat, lagipun bila mati nanti kubur lain-lain". 

Situasi 4.

Seorang pakcik menegur anak buahnya yang berpakaian menjolok mata lalu  ditegur pula oleh kakak atau abang kepada pakcik itu, "Kau kena ingat sikit, ko tu ada anak, jangan pandai nak tegur anak orang pulak. Jaga anak sendiri dulu".

Dipinggirkan.

Semua situasi itu adalah sebahagian daripada kisah yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Samada kita sedar atau tidak, janji Rasulullah itu benar dengan mengatakan Islam itu akan kembali asing selepas zaman kegemilangannya. Kebiasaanya, jika seseorang itu ingin mempertahankan cara pemikiran sebagai seorang islam, orang itu akan dipulau, disisihkan dan dipinggirkan.

Teringat satu ketika dulu apabila sebuah parti politik islam hendak melaksanakan hukum hudud maka berkata parti politik pemerintah iaitu hudud itu tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana negara kita berbilang bangsa. Lagipun nak ke kita lihat ramai orang kudung tangannya akibat dipotong tangan kerana mencuri? Dan macam-macam alasan yang tidak masuk akal. Akhirnya apa yang berlaku sekarang akibat tidak melaksanakan hukum Allah? Berlakunya penzinaan dan yang lebih teruk lagi si penzina tidak segan untuk mengaku melaksanakan zina serta sanggup berkongsi cerita dengan rakan-rakannya. Nauzubillah. Bila sudah berzina, yang si perempuan pula akan mengandung dan bila fikiran sudah tidak waras maka dibuangnya bayi itu.


Janji Allah.


Kenapa semua itu berlaku? Bertepatanlah dengan janji Allah iaitu: 


 يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللهَ يَنْصُرْكُمْ وَ يُثَبِّتْ أَقْدامَكُمْ 

"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". (Surah Muhammad ayat ke 7).

Jika kita melaksanakan hukum Allah, pastinya Allah akan memelihara kita kerana Allah telah berjanji. Siapa yang yang boleh berjanji lebih baik daripada janji Allah. Kenapa kita tidak mencuba dulu hukum tersebut dulu? Ini tidak! Kita terlebih dulu mengeluarkan fakta-fakta yang auta tanpa mencuba terlebih dahulu.

Kesimpulannya marilah kita sedaya upaya untuk mempertahankan agama islam yang suci ini. Sebab apa di penghujung hadis mengatakan "Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu". Biarlah kita disingkirkan, dipinggirkan atau diasingkan tetapi Allah redha atas kita. Cukuplah Allah bagi kita. Wasalam

Tuesday 10 May 2011

Seluar Baju Melayu

Kisah ini terjadi di malam hari raya aidilfitri. Si adik sedang asyik mencuba baju melayunya yang akan disarungkan pada keesokkan hari. Sedang si adik asyik mencuba pakaian tersebut, didapati seluar baju melayu terlebih panjang. Lantas si adik pun berjumpa dengan ibunya yang sedang sibuk menyiapkan juadah hari raya. Berkatalah si adik,"Mak, seluar adik nie panjang la, boleh tak mak tolong potong", sambil menunjukkan seluar kepada ibu. Ibunya pun berkata sambil mencekak pinggang,"Adik nie.... Tak nampak ke mak tengah sibuk.... Letaklah kat kat situ nanti mak jahitkan".

Gambar hiasan semata-mata

Si adik itu pun tidak yakin dengan kata-kata ibunya lalu pergi berjumpa dengan kakaknya yang sedang menyiapkan lansir."Aaaaakaaaaakkk.... Boleh tak tolong potong seluar nie, panjang sangat la". Kakak tadi yang sedang leka menyiapkan lansir, terus menengking adik "Ish budak nie, besok nak raya baru nak bagi tahu, semalam taknak pulak cakap. Dah letak kat situ nanti akak jahitkan". Merasakan tidak yakin dengan kata-kata kakaknya, si adik pun pergi mendapatkan bapanya yang baru balik dari masjid. " Abah, boleh tolong adik potongkan seluar nie tak. Panjang sangat la". Bapanya pun tanpa membuang masa terus mengambil gunting dan memotong seluar berkenaan lalu dijahitlah seluar itu. Maka si adik pun gembira dan terus masuk tidur. Sedang adik tidur, kakaknya yang tadi leka menyiapkan lansir pun teringat akan janjinya kepada adik. Diambilnya seluar tadi dan dipotong lagi seluar itu lalu dijahitnya dan si kakak tadi terus tidur. Si ibu pula yang tadi agak sibuk menyiapkan juadah hari raya juga teringat janji kepada anaknya. Lalu si ibu pun memotong seluar berkenaan.

Keesokkan harinya bangunlah si adik dengan hati yang gembira kerana akan memakai baju melayu yang baru. Sesudah mandi, si adik pun menyarung baju melayu, lalu menangis la kerana seluar baju melayu telah menjadi pendek.

Apakah pengajaran yang kita dapat dalam kisah ini. Sebenarnya komunikasi dan kesepakatan adalah penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Jika keluarga ini dapat berkomukasi dan sepakat dengan baik, tentunya seluar baju melayu itu akan sempurna sifatnya. Jika si bapa tadi memotong seluar, si ibu pula menjahit dan si kakak mengosok, tentunya si adik akan lebih gembira dan dapat mempelajari tentang erti kerjasama :)

Monday 9 May 2011

Antara telur, lobak merah dan biji kopi

Apabila manusia ditimpa musibah, manusia sebenarnya ada tiga kategori iaitu mereka memilih menjadi telur atau lobak merah atau biji kopi. Mengapa saya mengatakan begitu? Cuba ambil air panas dan rendamkan tiga-tiga bahan tadi.


Telur - Bila direndamkan dengan air panas, telur yang pada asalnya di dalam bentuk cecair akan menjadi keras.


Lobak merah - Ianya berbeza dengan telur tadi, kalau telur menjadi keras manakala lobak merah ini akan menjadi lembut bila direndamkan dengan air panas.


Biji kopi - Biji kopi ini bila kena dengan air panas, ianya akan merubah bentuk dan warnanya serta akan mengeluarkan aroma yang harum dan sekiranya ditambah dengan gula, maka kopi tersebut sedap diminum.




Apa kaitannya bahan-bahan itu dengan sifat manusia? Baiklah, kita katakan bahawa air panas yang dicurahkan kepada ketiga-tiga bahan tadi adalah musibah. Ada segelintir manusia sifatnya seperti telur, sebelum ditimpa musibah dia adalah seorang yang lembut, berbudi bahasa dan baik serba serbi. Namun apabila ditimpa musibah, dia akan menjadi seorang yang keras hatinya seperti telur yang direndam oleh air panas.


Manakala orang yang sifatnya seperti lobak sebelum ditimpa musibah dialah orang yang kita gelar jaguh. Kehebatannya menjadi buah mulut seluruh kampung. Tetapi apabila ditimpa musibah, dia menyerahkan segala-galanya kepada takdir tanpa cuba untuk berusaha ata berbuat sesuatu demi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Orang jenis ini walaupun diberi bantuan, dia akan menolak kerana dia sudah mengangkat bendera putih.


Manusia yang sifatnya seperti biji kopi pula boleh dikatakan sebagai manusia yang mampu untuk menyerap segala musibah yang melanda dan menjadikan musibah itu sebagai titik tolak untuk berjaya. Ramai sebenarnya  yang menjadi manusia yang hebat selepas mereka jatuh. Contoh yang paling terbaik adalah Nabi Muhammad S.A.W. Sebelum dilantik menjadi rasul, beliau dikenali sebagai seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan bangsa Arab Mekkah. Namun apabila beliau menyampaikan ajarannya, beliau dihina dan dicerca serta terpaksa berhijrah ke Madinah. Dan sampai sahaja di Madinah, Rasulullah S.A.W telah dapat menyatukan dua bangsa iaitu muhajirin dan ansar. Kita lihat bagaimana Rasulullah dapat menjadikan penolakan dakwahnya di Mekah sebagai satu keberuntungan di Madinah.


Jika kita susuri kehidupan Adolf Hitler.Beliau pernah memasuki Vienna Academy of Fine Arts untuk menjadi seorang pelukis tetapi gagal dua kali sehingga dibuang dari akademi tersebut. Apabila menyertai tentera di Perang Dunia Pertama, beliau hanyalah sebarang prebet yang ditugaskan untuk menghantar perutusan (semboyan). Namun beliau meningkat sedikit demi sedikit dan akhirnya menjadi seorang yang berkuasa di Jerman.




Kesimpulannya, dalam kehidupan ini kita ibarat seperti roda. Ada ketikanya dibawah dan ada ketikanya di atas. Namun kitalah yang akan mencorak lukisan hidup kita. Seperti firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 " Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri sendiri".

Sunday 8 May 2011

Kenapa orang Islam sembah bangunan kain hitam tu?


"Oh.. itu Kaabah atau nama lainnya Baitullah"

"Baitullah tu apa?"

"Secara terjemahan mudah maknanya Rumah Allah"


"Allah ada dalam tu?"

"Tak.."

"Jadi, kenapa sembah bangunan tu kalau Allah tak ada dalam tu?"

"Yang saya sembah bukannya bangunan tu.."

"Kamu sembah apa?"

"Saya sembah Allah swt"

"Jadi, kenapa sembah bangunan tu?"

"Saya menghadap sahaja ke arah Kaabah tetapi saya tak sembah Kaabah.."

"Bukankah kamu sujud ke arah Kaabah, maknanya kamu sembah Kaabah la.."

"Kamu pernah tgk perlawanan bola dalam TV?"

"Pernah.. selalu.."

"Kamu tengok tv ke tengok perlawanan bola?"

"Tengok perlawanan bola la.."

"Di mana?"

"Dalam tv la.."

"Cuba buka tv tu, tengok di dalamnya ada stadium dan perlawanan bola ke tak.."

"Memanglah tak ada.. tapi itukan gambarnya ada.."

"Bukalah dalam tv, tengok ada ke tak gambar perlawanan bola dalam tu.."

"So..?"

"Maknanya kamu tengok tv, bukan perlawanan bola.. betul tak?"

"Tak.. aku tengok perlawanan bola la melalui tv tu.."

"Peliknya.."

"Sebab apa pulak pelik?"

"Ye la, kau cakap tengok perlawanan bola, sedangkan aku tengok dalam tv tu tak ada apa-apa.. yg ada hanya wayar je berselirat.."

"Memanglah dalam tv tu ada banyak wayar, tapi tv tu menayangkan gambar-gambar perlawanan bola dalamnya.."

"Hurm.. jadi tak peliklah ni..?"

"Ya.. tak pelik.."

"Jadi tak pelik jugalah aku sujud ke arah Kaabah untuk menyembah Allah swt.. walau pun dalam Kaabah tak ada Allah.."

"Erk.. kau betul.."

Thursday 5 May 2011

Lilin dan Belon


Bangun semua. "Selamat Pagi Cikgu". "Selamat pagi murid-murid, silakan duduk", kata cikgu itu sambil mengeluarkan sebatang lilin, pemetik api dan sejumlah belon. Murid-murid berbisik semasa sendiri apakah yang akan dilakukan oleh gurunya itu. Sedang asyik murid-murid bertanya sesama sendiri, lilin pun dinyalakan.
Berkata guru tersebut, "Disebelah tangan kanan saya ada sebiji belon, di hadapan saya ada lilin yang sedang menyala. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan belon ini daripada pecah". Lantas guru tersebut mencecahkan belon ke api lilin. BOOOOOMMM... Maka terkejutlah anak muridnya akibat bunyi belon yang pecah...
Seterusnya guru tadi mengulangi langkah yang sama dan berkata "Disebelah tangan kanan saya ada sebiji belon, di hadapan saya ada lilin yang sedang menyala. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan belon ini daripada pecah" Belon kedua pun pecah. Murid-murid yang tadinya terkejut dengan kejadian belon pertama, mula bercakap-cakap sesama sendiri. "Ish... Kalaulah aku tiup lilin tu tadi mesti belon tak pecah" berkata seorang murid di dalam hatinya.
Apabila guru tadi hendak mengambil belon yang ketiga, murid-murid mula menunjukkan reaksi yang berbeza. Daripada pasif menjadi aktif dengan mengeluarkan kata-kata antaranya, "Cikgu janganlah pecahkan belon lagi", "Tiuplah lilin tu" dan macam-macam lagi yang seumpama dengannya. Cikgu tadi tidak menghiraukan kata-kata murid tadi dan terus mengulangi langkah yang sama. "Disebelah tangan kanan saya ada sebiji belon, di hadapan saya ada lilin yang sedang menyala. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan belon ini daripada pecah". Akhirnya pecah juga belon yang ketiga.
Ketika guru tadi hendak melakukan perkara yang sama untuk belon yang keempat, seorang murid bangun dan terus meniupkan lilin yang sedang bernyala tadi. Maka bertepuklah tangan murid-murid tersebut.

Guru pun berkata "Anak-anak muridku semua, apa yang kita dapat pelajari hari ini adalah sikap-sikap yang ada dalam diri kita sekarang. Lihat pada belon pertama yang pecah, semua orang terkejut dan tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Dan apabila belon-belon yang seterusnya, ramai yang hanya pandai bercakap tanpa mahu berbuat apa-apa. Hanya pada belon keempat sahaja barulah ada yang berani untuk berbuat sesuatu. Ingatlah, untuk menjadi insan yang berjaya dalam pelajaran, kita jangan hanya pandai bermain dengan kata-kata. Contohnya kita berjanji dengan semua orang yang kita hendak berjaya tapi hakikatnya, kita leka dengan bermain video games, facebook dan lain-lain tanpa berusaha untuk mengulangkaji pelajaran. Begitu juga dengan kehidupan kita sehari-hari, jika kita hendak berubah untuk menjadi insan taat dan patuh kepada perintah Allah, kita mestilah melaksanakan suruhannya. Setiap manusia mempunyai cita-cita untuk berjaya dan cemerlang dalam kehidupan. Berjaya atau gagal untuk mencapai hasrat tersebut bergantung sejauh mana usaha dan perancangan yang teliti dan berterusan yang telah dilaksanakan.

Motivasi Pagi - Helang



Helang merupakan sejenis burung yang mempunyai umur yang panjang di dunia. Umurnya boleh mencapai sehingga 70 tahun. Tetapi untuk mencapai umur sepanjang itu seekor helang harus membuat suatu keputusan yang sangat berat pada umurnya yang ke 40. Ketika helang berumur 40 tahun, cakarannya mula lemah, parutnya menjadi panjang dan membengkok hingga hampir menyentuh dadanya. Sayapnya menjadi sangat berat kerana bulunya telah tumbuh lebat dan tebal sehingga sangat menyukarkannya untuk terbang.

Pada masa itu, helang hanya mempunyai dua pilihan iaitu menunggu untuk mati atau mengalami satu proses transformasi yang sangat menyakitkan. Sekiranya memilih untuk melakukan proses transformasi, proses yang panjang itu akan berjalan selama 150 hari. Untuk melaksanakan proses transformasi tersebut, helang harus berusaha keras untuk terbang ke atas puncak gunung untuk membuat sarang di tepi gaung, berhenti dan tinggal di sana selama proses transformasi berlangsung.

Pertamanya, helang harus mematukkan paruhnya pada batu karang sampai paruh tersebut terlepas dari mulutnya, kemudian berdiam beberapa lama untuk menunggu tumbuhnya paruh baru. Dengan paruh yang baru tumbuh, dia harus mencabut satu persatu kuku-kukunya dan ketika kukunya yang baru sudah tumbuh, helang tersebut akan mencabur bulu badannya satu demi satu. Ianya adalah satu proses yang panjang dan menyakitkan. Selepas itu, bulu-bulu helang yang baru sudah tumbuh. Helang mula dapat terbang kembali. Dengan paruh dan cakar yang baru, helang tersebut mulia menjalani 30 tahun kehidupan barunya dengan penuh tenaga.

Dalam kehidupan kita ini, kadangkala kita juga harus melakukan suatu keputusan yang sangat berat untuk memulakan sesuatu proses pembaharuan. Kita harus berani dan mahu membuang semua kebiasaan lama yang mengikat, meskipun kebiasaan lama itu adalah sesuatu yang menyenangkan, melalikan dan melenakan. Kita harus rela untuk meninggalkan tingkahlaku lama kita agar kita dapat mula terbang lagi menggapai tujuan yang lebih baik di masa depan.

Hanya bila kita bersedia melepaskan beban lama, membuka diri untuk berlajar perkara-perkara yang baru, kita baru mempunyai kesempatan untuk mengembangkan kemampuan kita yang terpendam, mengasah bakat baru dan menatap masa depan dengan penuh kenyakinan.

Halangan terbesar untuk berubah terletak di dalam diri sendiri dan andalah penguasa atas diri anda. Jangan biarkan masa lalu menumpulkan usaha dan melayukan semangat kita. Ayuh, inilah masa untuk berubah :)